Selamat Datang ke Blog SMK Tun Indera. Terima kasih kerana melayari blog ini. Untuk mendapatkan paparan yang lebih baik sila gunakan Browser Mozilla Firefox atau Google Chrome.

SEJARAH SEKOLAH

                     Sekolah Menengah Kebangsaan Tersat atau akronimnya SMKT diberi nama berdasarkan kepada nama Mukim Tersat. Sekolah ini telah dibina pada tahun 2003 dalam Rancangan Malaysia Ke-8   dengan peruntukan sebanyak RM16 juta. Sekolah ini juga mempunyai tiga blok bangunan asas iaitu blok A, B dan C, di samping satu blok Makmal Sains, satu blok bengkel, satu  blok bilik mata pelajaran, satu blok kantin dan sebuah dewan. Pembinaannya adalah bagi memenuhi keperluan institusi pendidikan dalam daerah Hulu Terengganu dan aspirasi masyarakat setempat.
        
                     SMK Tersat terletak kira-kira 12 km dari bandar Kuala Berang, iaitu di pertengahan jalan   ke Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu. Sekolah ini mula beroperasi pada 2 Januari 2006 dengan peruntukan bilangan kelas sebanyak 12 kelas, bilangan pelajar seramai 263 orang dan  guru seramai 17 orang serta staf sokongan seramai 5 orang.

             Sebahagian besar pelajar ini datangnya daripada sekolah-sekolah rendah yang berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh, Sekolah Kebangsaan Kemat, Sekolah Kebangsaan Cheting dan Sekolah Kebangsaan Padang Setar. Manakala pelajar tingkatan 2 dan tingkatan 4 pula terdiri daripada pelajar-pelajar yang berpindah dari Sekolah Menengah  Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang.           

        Mulai 26 Julai 2010, Sekolah Menengah Kebangsaan Tersat telah dikenali dengan nama baru Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Indera, 21700 Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu Darul Iman.